BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, December 25, 2010

sekitar hukum memberi ucapan sempena sambutan agama lain..

Pendapat yang mengatakan haram

-Jawatankuasa Syariah Negeri Perak yang telah bersidang bagi kali ke-162 pada 19 Muharram 1425 bersamaan 11 Mac 2004 yang lalu telah mengeluarkan fatwa bahawa umat Islam adalah dilarang sama sekali menyertai sebarang perayaan agama lain, dalam apa jua bentuk yang dirayakan orang-orang bukan Islam di negeri ini.Bergabung dalam perayaan orang bukan Islam adalah haram. Sebab hal itu termasuk sikap tolong menolong dalam perbuatan dosa dan pelanggaran. Padahal Allah telah berfirman:“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.” (Al-Maidah:2).

-Ibnul-Qayyim di dalam bukunya yang bertajuk Ahkamu Ahlidz-Dzimmah, 1/205 menyebut bahawa:“Menyampaikan ucapan selamat terhadap syiar-syiar kekufuran yang bersifat khusus adalah haram menurut kesepakatan ulama, seperti ucapan saat perayaan atau puasa mereka: “Selamat atas hari rayamu, semoga diberkati”, ataupun ucapan-ucapan lain yang senada meskipun yang mengucapkannya bisa selamat dari kekufuran, tetap saja hal itu merupakan sesuatu yang diharamkan. Ini setaraf dengan ucapan selamat atas sujud mereka kepada salib, dan masih banyak hal lain yang menyangkut masalah agama.”

-Fatwa MUI (Majlis Ulama Indonesia yang dipengerusikan oleh Bung Hamka) pada tarikh 7 Mac 1981 juga telah mengeluarkan fatwa HARAM umat Islam Indonesia merayakan bersama perayaan Hari Krismas atau Natal kerana perayaan itu adalah ibadah dan bercanggah dengan aqidah umat Islam. Yang jelas haram menurut Prof Hamka dan Majlis Ulema Indonesia ialah kita turut serta merayakan perayaan sambutan yang ada unsur ibadah dan akidah secara redha dan bertambah haramlah jika kita menyambutnya di tempat yang dianggap rumah peribadatannya.

-Muhammad Saleh al-Munajjid, seorang ulama dan ahli Majlis Fatwa Kerajaan Arab Saudi. Beliau berpendapat hukum mengucap tahniah kepada bukan Islam pada hari-hari kebesaran mereka seperti Hari Krismas dan sebagainya adalah haram dan bertentangan asas-asas akidah Islam. Alasan beliau kerana hari perayaan agama kaum bukan Islam pada hakikatnya adalah syiar agama mereka. Umat Islam disuruh supaya tidak meniru syiar dan budaya kaum bukan Islam. Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Barangsiapa meniru syiar sesuatu kaum (bukan Islam), maka ia daripada golongan mereka - (riwayat Abu Dawud bilangan 4031. Musnad Ahmad Ibn Hanbal, bilangan 5093).

Pendapat yang mengatakan harus.

-Dr. Abdul Hayei bin Abdul Sukor menyebut bahawa;“mengucap tahniah kepada kaum bukan Islam sempena hari-hari kebesaran agama mereka seperti hari Krismas, Deepavali, Thaipusam dan sebagainya, termasuk antara masalah furu’ (cabang) dalam akidah Islam yang diperselisihkan antara ulama pada zaman ini. Perselisihan pendapat antara ulama mengenai hukum itu, pada hemat saya berpunca daripada tasawwur yang kurang jelas terhadap maksud ucapan selamat hari-hari kebesaran kaum Islam yang dikemukakan itu. Jika maksud pengucapan itu adalah ikut serta berhari raya, merelai kekufuran kaum bukan Islam dan berkasih sayang dengan mereka atas nama agama, maka sememangnya haram dan sama sekali tidak boleh dilakukan”.Namun, sebenarnya, jika maksud ucapan selamat hari-hari kebesaran kaum bukan Islam itu tidak lebih daripada hanya ikut bercuti pada hari itu, dan juga dengan niat untuk membalas ucapan selamat Hari Raya yang diucapkan terdahulu, atau hanya memperlihatkan rasa senang dan gembira hati dengan berkongsi kegembiraan mereka berhari raya, maka beliau berpendapat pengucapan seumpama ini tidak termasuk dalam hal-hal akidah yang sekali gus menunjukkan rela hati terhadap agama dan kepercayaan mereka.Khusus bagi kaum kafir yang tidak memusuhi Islam, telah disebutkan dalam perenggan yang sebelumnya yang mana Allah S.W.T berfirman dalam surah al-Mumtahanah, ayat 8 iaitu Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu.Kita juga perlu mengambil kira hubungan kemanusiaan dalam isu ini, seperti mana bidang-bidang kemanusiaan lain, kita tidak dilarang mengadakan hubungan baik dengan bukan Islam. Hubungan yang langsung terputus dengan sendirinya tidak memberi laluan kepada pendakwah untuk menyatakan kebaikan Islam kepada mereka, sedangkan agama ini adalah agama dakwah, agama damai dan selamat. Perang hanya berlaku apabila dakwah ditolak, jalan-jalan damai tidak wujud lagi kepada pendakwah tegas Dr. Abdul Hayei.Perbuatan seperti memasang lampu warna-warni di keliling rumah, menghias rumah dengan pokok Krismas, menyertai perarakan Hari Deepavali dan lain-lain adalah jelas keharamannya kerana amalan ini ada hubungan terus dengan akidah. Akan tetapi, jika mereka dengan sudi telah menghulurkan makanan pada hari itu dan kita terimanya dengan baik hati, serta mengucapkan terima kasih kerana hadiah yang diberi mereka, maka tidak ada sebab untuk kita menolaknya kerana mereka mungkin akan terasa hati dan fitnah akan timbul ke atas kita iaitu tidak meraikan perpaduan nasional dan juga bersifat toleransi.

-Dr. Yusuf al-Qaradawi pula berpendapat: Jika kaum bukan Islam memulakan ucapan selamat Hari Raya mereka kepada kita, maka kita juga harus membalas ucapan yang serupa kepada mereka, kerana ini tidak lebih daripada hanya mewujudkan rasa simpati antara satu sama lain. Ia tidak bermakna bahawa kita telah merelakan agama dan kepercayaan terhadap Isa Maryam sebagai Tuhan dan lain-lain pemujaan.Al-Qaradawi memberi beberapa alasan, antaranya: Islam tidak melarang kita berbuat baik terhadap ahli kitab yang tidak bermusuh dengan kita. Kita harus berbuat baik kepada mereka, sebagaimana mereka berbuat baik kepada kita. Ayat 8 dalam surah al-Mumtahanah yang dikemukakan terdahulu dijadikan hujah.Menurut al-Qaradawi lagi, bidang-bidang kerjasama antara Islam dan bukan Islam seperti bidang teknikal, ketukangan dan lain-lain masih terbuka. Bahkan Nabi s.a.w. pernah menggunakan kepakaran seorang Yahudi bernama Abdullah Ibn Urayqit sebagai penunjuk jalan ketika baginda berhijrah ke Madinah.Peranan Abdullah ini sangat besar, ada kemungkinan jika dia berniat jahat pada ketika itu, kesannya boleh menggagalkan strategi hijrah atau jika dia mengambil kesempatan menipu, maka sudah pasti kesannya sangat buruk kepada Islam dan dakwah, namun baginda tetap menggunakan juga khidmat kepakaran Yahudi yang bukan Islam itu.Sebagai kesimpulan, Dr. Yusuf al-Qaradawi berpendapat harus bagi kita mengucapkan tahniah dan selamat Hari Raya seperti hari Krismas kepada kaum bukan Islam pada hari-hari kebesaran mereka, kerana Islam tidak menutup hubungan antara dua kaum yang berlainan agama dan kepercayaan ini.
Share/Bookmark

0 comments:

Post a Comment